Polis laksana operasi buru warga asing ada kaitan pengganas
Bernama
Ogos 7, 2017 09:54 MYT
Ogos 7, 2017 09:54 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengadakan operasi bersepadu bagi memburu warga asing yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan keganasan sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi di sekitar Lembah Klang dan lokasi lain dibuat bagi memastikan acara sukan itu berjalan lancar.
"Kita akan kesan dan ambil tindakan terhadap warga asing yang disyaki ada kaitan dengan keganasan khususnya yang terlibat dengan aktiviti yang mempunyai kaitan dengan (negara bergolak) Syria," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Menurutnya, operasi yang dilakukan itu mendapat kerjasama Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang meminjamkan peralatan bagi mengesan elemen nuklear.
Terdahulu, Ayob Khan mengetuai operasi bersepadu lebih enam jam bermula tengah hari tadi di sekitar Jalan Masjid India, kawasan tumpuan ramai di ibu negara.
Susulan operasi itu, 275 individu terdiri daripada warga Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Myanmar, Oman, Yaman, Uzbekistan, Thailand, Nigeria, Sri Lanka dan rakyat tempatan ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk pemeriksaan lanjut.
Ini termasuk proses penapisan berdasarkan pangkalan data Interpol mengenai pengganas.
Ayob Khan berkata operasi itu juga membawa kepada terbongkarnya sindiket pemalsuan dokumen melibatkan seorang warga Pakistan di dua unit kondominium di Jalan Masjid India.
Katanya kira-kira RM40,000 wang tunai, 62 pasport pelbagai negara dan sebuah mesin memalsukan pelekat Jabatan Imigresen turut dirampas.
Kira-kira 200 anggota dan pegawai daripada pelbagai unit PDRM antaranya Pasukan Gerakan Am, Unit Tindakan Khas, Unit Forensik selain Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam operasi berkenaan.
-- BERNAMA