Polis Lahad Datu tahan anggota tentera suspek kes rogol

Ridzal Abdullah
Disember 23, 2018 11:07 MYT
Menurut Nasri (gambar), suspek memaksa mangsa melakukan hubungan seks dan kemudiannya memukul mangsa secara bertubi-tubi di bahagian tangan, perut dan paha. - Astro AWANI
Polis Lahad Datu malam tadi menahan seorang anggota tentera berusia 24 tahun yang disyaki merogol kekasihnya yang merupakan seorang jurujual berusia 21 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, pada 17 Disember lalu, mangsa dihubungi suspek ketika sedang berehat di tempat kerja, iaitu sebuah pusat membeli belah di Kota Kinabalu.
"Suspek kemudian meminta mangsa untuk berjumpa. Setelah itu, suspek membawa mangsa ke Terminal Bas Ekspress Inanam. Kemudian, suspek bertindak memaksa mangsa untuk ikut ke Lahad Datu.
"Mangsa merayu untuk dilepaskan namun tidak diendahkan suspek. Sebaliknya, suspek menampar muka mangsa dan juga menumbuk perut mangsa.
"Sepanjang perjalanan, suspek telah mengugut mangsa akan memukulnya sekiranya dia menangis," kata Nasri.
Setelah sampai di Lahad Datu, mangsa telah dibawa ke dalam sebuah hotel.
Suspek, menurut Nasri, telah memaksa mangsa melakukan hubungan seks dan kemudiannya memukul mangsa secara bertubi-tubi di bahagian tangan, perut dan paha.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek merupakan pasangan kekasih dan hanya baru menjalinkan hubungan sejak empat bulan yang lalu.
Suspek merupakan seorang tentera di Kem Penrissen, Sarawak.
Selepas itu, pada 19 Dis, mangsa telah dilepaskan di Sandakan dan diambil oleh sepupunya yang berada di sana.
Mangsa telah dirujuk di Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pihak doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan baru dan kesan lebam di tangan kiri dan kaki mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
#hotel #jurujual #Kota Kinabalu #Lahad Datu #mangsa #Nasri Mansor #polis #rogol #rogol kekasih #Sandakan #seks #siasatan #suspek #tentera
;