Polis Lahad Datu buru lelaki Arab

Radhi Muslim
Mei 31, 2019 19:06 MYT
Suspek membawa lari anak perempuannya berumur empat tahun dan dua anak lelaki masing-masing lapan dan 13 tahun. -PDRM
Seorang lelaki warga Jordan yang disyaki mengugut bunuh isterinya dan mendera tiga anak mereka diburu polis Lahad Datu.
Suspek dipercayai melarikan diri dalam satu kejadian di sebuah pejabat agensi pengurusan pasport di Fajar Centre, dekat sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, suspek berusia 43 tahun itu membawa lari anak perempuan berusia empat tahun dan dua anak lelaki masing-masing lapan dan 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga isteri suspek seorang warga tempatan berumur 43 tahun.
“Mangsa melaporkan pada 18 Mei lalu, dia yang berada di Kota Kinabalu menerima panggilan telefon daripada pekerjanya mengatakan anak lelaki mereka yang berumur lapan tahun dipukul suaminya sehingga cedera di muka, leher, punggung dan paha.
“Dua hari kemudian, mangsa pulang ke Lahad Datu membawa anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi tidak membuat laporan polis.
“Namun, pada Rabu, suspek tiba-tiba datang ke pejabat mangsa dan memaksa mangsa membuat pasport anak bongsu untuk dibawa ke Jordan.
"Mangsa tidak bersetuju lalu berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Menurutnya, suspek turut mengugut bunuh mangsa dan semua ahli keluarga mangsa sekiranya enggan menyerahkan tiga-tiga anak mereka.
“Lelaki terbabit kemudian membawa lari tiga anak mereka dengan menggunakan pacuan empat roda Toyota Vigo dengan nombor pendaftaran SD5641L berwarna putih.
“Pihak kami meminta kerjasama orang ramai menghubungi polis dengan segera sekiranya terlihat suspek bersama tiga kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
#dera anak #Fajar Centre #Jordan #Lahad Datu #Nasri Mansor #pacuan empat roda #ugut bunuh isteri
;