Polis Labuan, SPRM ikrar perkukuh kerjasama perangi rasuah dan salah guna kuasa

Bernama
Oktober 10, 2024 08:20 MYT
Mohd Hamizi (dua, kiri) ketika menerima kunjungan hormat Muhammat Azis (dua, kanan) di Ibu Pejabat Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, 9 Okt 2024. -- fotoBERNAMA
LABUAN: Polis Labuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited mengadakan kerjasama bagi memperkukuh integriti dan menangani rasuah serta penyalahgunaan kuasa di wilayah ini.
Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim dan Penolong Pesuruhjaya SPRM Labuan yang baharu dilantik ACP Muhammat Azis Malmod membuat ikrar itu semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Mohd Hamizi di pejabatnya semalam.
Pertemuan itu menumpukan kepada meningkatkan kerjasama antara kedua-dua agensi berkenaan bagi memperkukuh usaha mengekang dan menyiasat rasuah serta salah laku di Labuan.
Mohd Hamizi turut menyentuh mengenai kepentingan mengekalkan tahap piawaian yang tinggi dalam penguatkuasaan undang-undang sambil menyatakan kerjasama berkesan dengan SPRM mampu menjamin persekitaran lebih telus dan bertanggungjawab.
Muhammat Azis yang turut senada dengan Mohd Hamizi berkata SPRM bersedia untuk bekerjasama rapat dengan polis bagi membanteras rasuah dan menggalakkan tadbir urus yang baik.
"Kerjasama ini amat mustahak dalam usaha kolektif kami untuk menoktahi gejala rasuah dan menegakkan kedaulatan undang-undang,'’ katanya.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju kerjasama secara berkala termasuk perkongsian maklumat selain operasi bersama mampu menjadi wadah penting dalam membanteras rasuah dan salah laku.
Kerjasama ini bukan sahaja bertujuan menangani cabaran semasa malah untuk memupuk budaya integriti dalam kalangan penjawat awam dan anggota penguat kuasa undang-undang.
Jalinan kolaborasi ini ketika kepercayaan orang ramai terhadap institusi undang-undang memainkan peranan sangat penting, menyaksikan kedua-dua agensi mengukuhkan komitmen untuk menegakkan undang-undang dan mengekalkan keyakinan rakyat.
Kerjasama itu juga menjadi langkah penting dalam mengekalkan kebertanggungjawapan dan integriti di Labuan iaitu polis dan SPRM bekerjasama mewujudkan persekitaran lebih telus dan bebas rasuah.
Pertemuan seterusnya bakal berlangsung selepas ini dengan kedua-dua pihak dijangka merangka strategi membanteras rasuah selain mengukuhkan integriti sektor awam secara keseluruhan.
-- BERNAMA
#Labuan #SPRM #penjawat awam #salah guna kuasa
;