Polis kumpul bukti untuk heret dalang pencerobohan ke mahkamah

Bernama
April 9, 2013 19:26 MYT
Polis masih mengumpul bukti bagi membolehkan dalang insiden pencerobohan kumpulan militan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna sejak Februari lepas dibawa ke muka pengadilan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata siasatan menjurus kepada penyelesaian kes itu berpandu kepada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh di mahkamah.
"Kami tidak kata orang ini (individu ditahan) terlibat sebagai perancang atau pembunuh kes menembak mati pasukan keselamatan pada 2 Mac, kami ada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh...," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan apabila ditanya mengenai kemungkinan dalang yang disyaki adalah daripada kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik dalam laporan akhbar tempatan hari ini sebagai berkata pihak ketiga yang mendalangi tindakan pencerobohan pengganas Jamalul Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan beberapa lokasi lain di Sabah telah dikenal pasti, namun masih memerlukan bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.
Mengenai 32 individu yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi semalam, Hamza berkata kesemuanya adalah lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72 tahun.
"Kami tangkap kerana mereka memasuki negara ini tanpa dokumen dan bersenjata api yang menyalahi undang-undang negara ini," katanya.
Hamza berkata tiada pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah serta tiada laporan mengatakan pengganas bersenjata memasuki negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata pasukan keselamatan masih mengesan tiga lagi mayat militan Sulu yang ditembak mati pada pertempuran 1 Mac lepas.
#kampung tanduo #Lahad Datu #mahkamah #militan #Ops Daulat #pasukan keselamatan #pengganas Sulu #polis #Semporna
;