Polis Kuching klasifikasi kes kanak-kanak hilang sebagai kes bunuh

Shafik Ahmad
Mac 13, 2022 21:22 MYT
Ia susulan perkembangan terbaru kes tersebut yang membawa kepada pencarian mayat kanak-kanak berusia empat tahun itu di kawasan Sungai Muara Tebas dan sekitarnya.
KUCHING: Polis Kuching mengklasifikasikan kehilangan kanak-kanak berusia 4 tahun dikenali sebagai Eric Chang Wei Jiw sejak minggu lalu sebagai kes bunuh.
Ia susulan perkembangan terbaru kes tersebut yang membawa kepada pencarian mayat kanak-kanak berusia empat tahun itu di kawasan Sungai Muara Tebas dan sekitarnya.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah dalam kenyataannya berkata usaha pencarian kini diperluas dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Wilayah 5, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Berdasarkan siasatan terkini, polis mengklasifikasikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada 7 Mac lalu, Eric dilaporkan hilang pada jam 9:00 pagi di di Jalan Daya, Bintawa dekat sini yang kali terakhir menggunakan kemeja-T berwarna biru gelap dan berseluar pendek berwarna hitam.
Susulan laporan tersebut, polis menahan empat suspek termasuk ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan pasangan penjaga bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum ini kata Ahsmon, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung orang hilang dan kecuaian dan pengabaian penjagaan kanak-kanak.
Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
#kanak-kanak hilang #kes bunuh #pencarian mayat #Pembunuhan
;