Polis Kuala Lumpur terima tiga ancaman bom
Hakim Rahman
Ogos 1, 2019 05:00 MYT
Ogos 1, 2019 05:00 MYT
Polis menemui alat letupan termampat (IED) yang tidak sempurna di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, petang Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, IED itu ditemui orang awam pada jam 5 petang, sebelum polis menerima maklumat pada 10 malam tadi.
Unit Pemusnah Bom (UPB) sudah membuat pemeriksaan dan mengesahkan objek ditemui itu adalah IED tidak sempurna dan polis masih menjalankan siasatan terhadapnya.
Sementara itu, pada jam 9 malam pula, pihaknya menerima maklumat melalui laman Twitter terdapat ancaman bom dikatakan di sekitar KL Sentral.
"Pemeriksaan sekitar KL Sentral tiada menjumpai sebarang objek mencurigakan dan kami percaya maklumat diberikan adalah maklumat palsu.
"Siasatan sedang dijalankan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter tersebut," katanya dalam kenyataan lewat malam Khamis.
Polis turut menerima ancaman sama di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang dan siasatan mendapati ia adalah palsu.
“Sekiranya orang awam ada sebarang maklumat, boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields 03 22979268,” katanya lagi.
#akaun Twitter
#ancaman bom
#Ancaman palsu
#Kedutaan Rusia
#Ketua Polis KL
#Kuala Lumpur
#maklumat palsu
#Mazlan Lazim
#objek mencurigakan
#SKMM
#Unit Pemusnah Bom