Polis Kuala Lumpur rampas dadah bernilai hampir RM500,000

Israr Khalid
Februari 17, 2015 15:52 MYT
Serbuan tersebut turut membawa kepada penahanan empat suspek berbangsa Cina berusia dalam lingkungan 33 hingga 41 tahun. - Gambar fail
Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan susulan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM411,120 dalam dua serbuan berasingan pada 11 dan 13 Februari.
Serbuan tersebut turut membawa kepada penahanan empat suspek berbangsa Cina berusia dalam lingkungan 33 hingga 41 tahun.
Timbalan Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Law Hong Soon memaklumkan sindiket tersebut dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran dalam negara.
“Pihak kami akan terus menjalankan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian mereka yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini dan mencari punca bekalan dadah yang diperoleh,” katanya dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam serbuan pertama pada 11 Februari, seorang kontraktor ubah suai rumah berusia 35 tahun ditahan sekitar jam 9 malam semasa berada di dalam kereta Proton Gen2 di lot letak kereta di sebuah bangunan di Jalan Tun Razak.
Hasil pemeriksaan, tiga bungkus plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram berjaya dirampas.
Susulan penahanan suspek pertama itu, polis menahan seorang lagi suspek berusia 35 tahun di kawasan stesen minyak di Jalan Tun Razak dan menemui sepaket plastik mengandungi 450 gram dadah jenis heroin, 600 biji pil Eramin 5, sepaket plastik mengandungi 50 gram dadah ketamin, 13 paket syabu seberat 224 gram, dan 1,220 biji pil Ecstasy seberat 349 gram.
Selain dadah, turut dirampas wang tunai bernilai RM30,000.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam serbuan pertama bernilai RM198,420.
Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 13 Februari, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun ditahan di hadapan rumah di Taman Midah Ria, Cheras dan merampas dua plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 102 gram.
Hasil soal siasat, seorang lagi suspek berusia 33 tahun ditahan ketika sedang memandu kereta jenis Ford Mondeo di kawasan perumahan Taman Midah Ria, Cheras.
Selain itu, polis juga merampas 3,290 biji pil dadah jenis Eramin 5 dan wang tunai berjumlah RM5,000.
Dadah yang dirampas dalam serbuan kedua keseluruhannya bernilai RM212,700.
Keempat-empat suspek yang ditahan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Law memberitahu polis akan menjalankan Ops Tapis di terminal-terminal bas ekspres bersempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di Kuala Lumpur.
#Dadah #ecstasy #Eramin 5 #heroin #IPK #jsj #Law Hong Soon #polis #rampas #Syabu
;