Polis KLIA rampas senjata api tiruan dalam bagasi penumpang
Astro Awani
Mei 12, 2016 13:56 MYT
Mei 12, 2016 13:56 MYT
Polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad merampas beberapa pucuk senjata api tiruan semasa mengimbas bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.
Menurut sumber, bagasi berkenaan didaftar masuk di Terminal Udara KL Sentral pada pukul 10 pagi Ahad untuk penerbangan dengan pesawat MAS ke Kota Kinabalu pada pukul 10.20 malam yang sama.
Dua bagasi yang memuatkan senjata api itu didaftarkan atas nama seorang warga Filipina.
"Penumpang itu bagaimanapun tidak muncul untuk menaiki pesawat dan bagasinya dikeluarkan," kata sumber itu kepada Astro AWANI.
Antara senjata api tiruan yang dirampas ialah tiga pucuk raifal termasuk jenis sniper jarak sederhana, sembilan pucuk pistol angin lengkap dengan kelopak peluru, dua unit senjata renjat dan pelbagai komponen pemasangan senjata.
Dua laporan polis kemudian difailkan berasingan di Balai Polis KLIA.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian dan memaklumkan kesemua senjata yang dirampas tersebut ialah senjata tiruan.
Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengesan penumpang berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Senjata 1960.