Polis KL asah kemahiran hadapi banjir kilat

Sinar Harian
Julai 26, 2022 06:30 MYT
62 peserta terdiri daripada anggota di bawah pentadbiran IPK Kuala Lumpur menyertai latihan pengendalian bot. -Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Seramai 62 anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur menyertai program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Pengenalan dan Pengendalian Bot untuk meningkatkan tahap kesiagaan pihak polis menghadapi bencana banjir kilat di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, seramai 62 peserta terdiri daripada 55 anggota dan tujuh pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di ibu negara mengambil bahagian dalam latihan selama dua hari terbabit.
"Tujuan latihan ini adalah untuk menjalankan tugas kecemasan penyelamatan di air sewaktu bencana dengan memberi pendedahan berkaitan pengendalian bot secara teratur untuk misi menyelamat mangsa.
"Selain itu, ia juga dapat menguji kemampuan aset-aset (bot) yang kita terima hasil sumbangan orang ramai dan telah didaftarkan sebagai harta kerajaan," katanya semasa menyempurnakan majlis penutup Program LDP di Markas Polis Marin Putrajaya, di sini, pada Selasa.
Azmi berkata, jika dibandingkan dengan aset sedia ada, bot hasil sumbangan orang ramai termasuk beberapa wakil politik itu dilihat tidak sesuai digunakan ketika menghadapi banjir berskala besar namun boleh digunakan ketika bencana banjir kilat yang sering melanda ibu negara.
"Setakat ini di Kuala Lumpur kita telah terima sekitar 10 buah bot dari orang persendirian serta beberapa wakil rakyat dan kita hargai sumbangan ini.
"Kita akan manfaatkan sepenuhnya dan lebih penting lagi kita akan siapkan diri kita supaya mampu menggunakan aset-aset itu," katanya.
Katanya, latihan pengendalian bot secara profesional wajar diberikan perhatian berikutan banjir kilat yang sering dihadapi warga kota malah menerusi latihan yang diperoleh Polis Kuala Lumpur ini, mereka mampu menghulurkan bantuan kepada negeri-negeri jiran yang dilanda banjir besar. -Sinar Harian
#banjir kilat #Polis KL #Latihan Dalam Perkhidmatan #Pengendalian Bot
;