Polis kesan taktik penipuan tawar diskaun bil elektrik di Facebook

Bernama
September 6, 2024 23:06 MYT
Ramli berkata, sindiket itu dikesan menawarkan khidmat tersebut dengan diskaun sekitar 20 hingga 30 peratus melalui laman sosial Facebook. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan satu sindiket menawarkan diskaun pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) tertunggak yang setakat ini telah mengakibatkan kerugian hampir RM280,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu dikesan menawarkan khidmat tersebut dengan diskaun sekitar 20 hingga 30 peratus melalui laman sosial Facebook.
Beliau berkata mereka yang berminat kemudian menghubungi nombor yang dipaparkan, sebelum diarah menghantar gambar bil yang tertunggak itu.
"Sindiket kemudiannya akan menghantar gambar resit pembayaran kononnya bil berkenaan sudah dijelaskan, dan mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan wang ke akaun bank individu yang diberikan.
"Selepas membuat pindahan wang, mangsa kemudiannya menyedari ditipu apabila bil (TNB) mereka didapati masih tertunggak," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di sini, hari ini.
Beliau berkata setakat ini tujuh kes menggunakan modus operandi yang sama telah dilaporkan melibatkan kerugian nilai kerugian keseluruhan RM279,289 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
Dalam kes berasingan, polis mengesan satu taktik penipuan melibatkan pihak menyamar kononnya sebagai 'ejen' yang menawarkan perkhidmatan memproses pemulangan semula wang yang ditipu oleh scammer atau dipindahkan ke akaun orang lain.
Ramli berkata perkhidmatan berkenaan sebenarnya tidak wujud kerana proses pemulangan wang hanya dapat dilakukan oleh pegawai penyiasat dengan pematuhan kepada peruntukan undang-undang.
"Tiada jalan pintas untuk perkara ini sama ada melalui ejen, badan bukan kerjaaan atau sebagainya. Kesemua prosedur ini hanya boleh dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sahaja, bukan mana-mana individu persendirian.
"Malahan, proses pemulangan wang kepada mangsa sebenarnya akan mengambil masa kerana mereka akan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi melengkapkan prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 413 KTJ," katanya.
Beliau berkata mangsa boleh menuntut wang mereka dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas membuat laporan polis.
Selain itu Ramli berkata sejak Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ditubuhkan, kira-kira 11,000 mangsa dikesan gagal membuat laporan polis setelah menghubungi pusat itu bagi melaporkan mereka menjadi mangsa penipuan, mengakibatkan wang yang disekat tidak dapat diproses dan tidak dapat dipulangkan.
"Mangsa yang membuat panggilan kepada NSRC berkenaan kes penipuan juga perlu membuat laporan polis di balai polis berhampiran agar tindakan sekatan dan pemulangan wang dapat disempurnakan," katanya.
Ramli berkata dalam tempoh 2022 hingga Julai tahun ini, kira-kira RM46 juta berjaya disekat oleh NSRC dan daripada jumlah itu RM510,000 telah dipulangkan kepada mangsa.
NSRC yang ditubuhkan secara rasmi pada 12 Okt 2022 bertujuan antaranya menjejaki wang yang telah didepositkan ke akaun suspek, menyekat dan memulangkan semula wang kepada mangsa.
-- BERNAMA
#Facebook #laman sosial #TNB #bil elektrik
;