Polis kesan suspek utama kes kelar peniaga
Bernama
Februari 6, 2025 20:15 MYT
Februari 6, 2025 20:15 MYT
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki suspek utama kes kelar seorang peniaga di sebuah pangsapuri di Bandar Baru, Air Itam Ahad lepas.
GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki suspek utama kes kelar seorang peniaga di sebuah pangsapuri di Bandar Baru, Air Itam di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata suspek dikenali sebagai Ong Wei Loon, 36, atau Holy, dipercayai telah melarikan diri dari Pulau Pinang.
"Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang dan berdasarkan maklumat daripada saksi serta rakan-rakan mangsa di tempat kejadian turut menyatakan suspek ada datang ke rumah mangsa untuk meminta hutang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan suspek melakukan perbuatan tersebut seorang diri dan dua lelaki ditahan sebelum ini tidak terlibat dengan kejadian dan merupakan saksi.
Beliau berkata kedua-kedua mereka yang berusia 39 dan 48 tahun direman Isnin lepas bagi membantu siasatan dan akan diberi jaminan polis, selain pihaknya masih belum menemukan senjata dalam kejadian itu.
Abdul Rozak memaklumkan mangsa yang berusia 40 tahun kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaannya dilaporkan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menafikan spekulasi di media sosial yang mengaitkan kejadian tersebut dengan loteri dan aktiviti Ah Long.
Dalam kejadian Isnin lepas, mangsa dikelar di pipi kiri, dada dan betis menggunakan senjata dipercayai sebilah pisau ketika berada di rumah bersama isterinya.
Gambar dan video mangsa terduduk di atas kerusi dalam keadaan berlumuran darah tular di media sosial.
-- BERNAMA