Polis kesan sindiket penipuan pelaburan tawar keuntungan 100,000 kali ganda

Umavathi Ramayah
Mac 28, 2024 15:10 MYT
Ramli berkata, tawaran pelaburan itu dibuat secara bersemuka sama ada melalui kenalan atau saudara mara. - Foto/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pulangan RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan.
Itu pulangan yang ditawarkan sindiket penipuan dikenali Skim Pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memperdaya mangsa di Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis membuka lima kertas siasatan berhubung penipuan itu yang dianggarkan melibatkan kerugian sehingga RM800,000.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket itu mula beroperasi sejak 2019 dan menjanjikan pulangan yang tinggi kepada pelabur berdasarkan hibah. Pulangan yang ditawarkan adalah RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan.
"Tawaran pelaburan itu dibuat secara bersemuka sama ada melalui kenalan atau saudara-mara.
"Mangsa hanya perlu mengikuti seminar dan kursus yang ditawarkan kononnya bagi melayakkan mereka melabur dalam skim itu," katanya pada sidang media di pejabat JSJK di sini, pada Rabu.
Ramli menambah, setelah yakin dengan skim pelaburan yang ditawarkan, mangsa mula memindahkan wang ke akaun yang diberikan.
Namun katanya, setelah pindahan wang dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
Semakan boleh dilakukan di portal-portal rasmi seperti portal semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
#IKS Sabah #sindiket pelaburan #Ketua Polis Negara #Polis Diraja Malaysia
;