Polis kesan saksi kemalangan maut penunggang motosikal di Lebuhraya Cheras-Kajang

Bernama
Oktober 21, 2024 04:15 MYT
Siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal terbabit kemalangan dengan lori yang mana nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.
KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan di Lebuhraya Cheras-Kajang pada 12 Okt lepas yang mengorbankan seorang penunggang motosikal untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian dipercayai berlaku pada 5.55 pagi menyebabkan seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun maut.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal terbabit kemalangan dengan lori yang mana nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka kemalangan terbabit agar menghubungi balai berhampiran atau pegawai penyiasat Insp Narol Hisham Endi di talian 019-5897115.
-- BERNAMA
#Lebuhraya Cheras-Kajang #kemalangan #penunggang motosikal maut #polis kajang
;