Polis kesan pemilik kenderaan kes langgar lari pegawai Imigresen

Adie Sufian Zulkefli
September 4, 2022 20:21 MYT
Polis meminta pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian tersebut tampil membantu siasatan. - Foto ihsan polis
SUNGAI PETANI: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang dipercayai terlibat kejadian langgar lari melibatkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara - Selatan arah utara, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian sekitar jam 8.30 hingga 9.30 pagi itu berlaku ketika hujan lebat.
“Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C datang dari arah selatan menghala ke utara dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira 1.5GL(A) Aeroback berwarna Perak nombor pendaftaran TAC 5688 di mana pemandunya telah melarikan diri dari tempat kejadian.
“Polis meminta pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian tersebut tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Zaidy mereka yang mengetahui kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-558 6668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Muda di talian 04-423 2222.
BACA: Pegawai Imigresen Sungai Bakap maut nahas langgar lari
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala rakannya, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, mengalami patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
#langgar lari #pegawai imigresen Sungai Bakap #Polis Daerah Kuala Muda #Lebuhraya Utara Selatan #PLUS #Timbalan Penolong Pengarah Imigresen #Muhammad Nizam Samsudin
;