Polis kesan pemilik akaun media sosial timbul kebencian terhadap pemain bola sepak - Saifuddin

Pia Ernadya
Mei 7, 2024 17:40 MYT
Saifuddin Nasution berkata, ia susulan kes serangan yang melibatkan dua pemain bola sepak iaitu Faisal Halim dan Akhyar Rashid. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.
Katanya, ia susulan kes serangan yang melibatkan dua pemain bola sepak iaitu Faisal Halim dan Akhyar Rashid.
Menurutnya, pemilik akaun sosial media terbabit dikesan kerap melakukan serangan peribadi.
“… ada sampai laporan kepada kita tentang kewujudan beberapa laman sosial dalam bentuk Facebook dan segala macam yang kemudiannya menyasarkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan ini.
“Cara dia merayakan jaringan... itupun diulas... cara dia bersosial, dia berkawan dengan siapa... setiap inci pergerakan (mereka) diulas dan kesimpulan akhir pada hantaran pemilik media sosial ini adalah untuk membibit kebencian.
“Saya baru peringkat awal menerima laporan itu, saya percaya pihak polis akan lakukan langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar On Cybercrime And Substance Abuse Consciousness di MITEC, pada Selasa.
Saifuddin Nasution juga menggesa agar serangan seperti ini dihentikan kerana menurutnya, dunia bola sepak ini sangat kecil.
“Keutamaan patut diberikan untuk meningkatkan prestasi, wujudkan keadaan kondusif, naikkan ranking... tapi dua insiden kebelakangan ini sangat menyedihkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan polis akan melakukan dengan seluruh keupayaan untuk menangkap dan mengesan suspek.
“Saya ulangi jaminan bahawa keselamatan dan keamanan (semua pemain bola sepak di negara ini) terjamin... dan mereka patut tumpu kepada karier mereka menjelang liga yang akan bermula,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan Akhyar mengalami kecederaan dan kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada malam Khamis.
Akibat kejadian itu, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.
Selepas kejadian menimpa Akhyar, pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim pula menjadi mangsa jenayah apabila disimbah asid dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika pemain Selangor FC itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya mengakibatkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian tubuh iaitu sekitar leher, bahu, lengan serta dada.
#Faisal Halim #Saifuddin Nasution #pemilik akaun media sosial #sebar kebencian
;