Polis kesan pemandu Preve guna siren redah kesesakan

Sinar Harian
Mac 22, 2022 06:45 MYT
Tular di media sosial pemandu kereta Proton Preve menggunakan siren dan lampu mata arah semasa meredah kesesakan di Jalan Lapangan Terbang Subang. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Preve yang tular di media sosial meredah kesesakan jalan raya menggunakan lampu mata arah dan siren ala polis di Jalan Lapangan Terbang Subang di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya mengesan video tular memaparkan kejadian tersebut di media sosial sekitar jam 3 petang pada Selasa.
Menurutnya, polis kini sedang mengenal pasti individu yang memandu kereta Proton Preve berwarna emas itu ketika kejadian.
"Kejadian sebenar berlaku pada 23 Februari jam lebih kurang 6.30 petang dan tidak melibatkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Pemilik kenderaan sudah dikenal pasti dan telah dirakam percakapan tetapi siasatan masih dijalankan kerana pemandu kenderaan pada masa kejadian adalah orang lain.
"Kenderaan tersebut juga telah dijual oleh pemilik asal," katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Kaedah 94 Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 dan Peraturan 24(ii) 170/59.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#guna siren #redah kesesakan #Preve #Jalan Lapangan Terbang Subang
;