Polis kesan pemandu Perodua Myvi memandu secara melulu

Aida Aziz
Mac 6, 2024 11:30 MYT
Tangkap layar video tular di media sosial.
BAGAN SERAI: Polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi warna putih yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dengan dua kereta di KM 93 Jalan Ipoh-Butterworth, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff, pada Selasa pihaknya mengesan satu video tular yang berdurasi selama 39 saat yang dimuat naik di Facebook.
"Dalam video tersebut sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.
"Pada 3 Mac, jam 6.20 petang, dua laporan polis telah dibuat oleh pemandu kereta yang terlibat kemalangan tersebut dan rakaman percakapan diambil oleh pihak polis.
"Polis dalam usaha mengesan pemilik Perodua Myvi tersebut dan siasatan awal mendapati pemiliknya merupakan wanita berusia 45 tahun dan beralamat di Ipoh," katanya pada Rabu.
Juna menambah, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Kerian, Sarjan 194674 Khairul A’ini Jamaludin di talian 05-7210539/019- 8294242.
Pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu dan mematuhi segala peraturan jalan raya.
#video tular #memandu melulu #Nahas #Perodua Myvi
;