Polis kesan pemandu BMW langgar lari penunggang motosikal
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 2, 2025 16:00 MYT
Februari 2, 2025 16:00 MYT
BUTTERWORTH: Polis mengesan pemandu sebuah kereta jenis BMW yang dipercayai melanggar motosikal ditunggang seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini dalam kejadian langgar lari, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati alamat pemandu tersebut di Perak dan Johor.
"Usaha mengesan pemandu kereta tersebut giat dijalankan dan kami meminta bantuan polis di kedua-dua negeri tersebut," katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial rakaman video kamera papan pemuka memaparkan seorang penunggang motosikal wanita terjatuh selepas dilanggar kereta BMW sebelum pemandunya meninggalkan mangsa, dalam kejadian pada 8.45 pagi
Mangsa dalam insiden itu dikatakan mengalami cedera di kaki dan rahang.