Polis kesan pelaku bunuh anjing guna anak panah

Salim Aziz
Ogos 12, 2019 21:50 MYT
Menurut polis, kejadian ini mula tular di media sosial, selepas dimuat naik seorang pemilik Facebook, Choo WS. - Foto ihsan polis
Polis sedang mencari saksi bagi satu kejadian membunuh seekor anjing, dipercayai menggunakan anak panah di Langkawi, berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam di Dayang Bay pada Ahad.
Kejadian disedari orang awam, Wendy Chin Yoon Mun, 46 tahun melalui gambar kiriman di WhatsApp oleh rakannya pada kira-kira 2 petang, sebelum tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan pada 4.54 petang Ahad oleh seorang wanita yang memaklumkan terdapat seekor anjing mati dalam keadaan badannya tertusuk dua batang anak panah.
Kata Mohd Iqbal, kejadian ini mula tular di media sosial, selepas dimuat naik seorang pemilik Facebook, Choo WS.
Susulan itu, polis sedang mengesannya bagi mendapatkan butiran terperinci berhubung kes itu.
Hasil siasatan awal polis mendapati, lot kedai di bangunan itu masih belum berpenghuni dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
Menurut Mohd Iqbal, setakat ini tiada lagi tangkapan yang dilakukan.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
#Akta Binatang 1953 #bunuh anjing #Choo WS #Dayang Bay #gambar kiriman di WhatsApp #panah anjing #pemilik Facebook #Polis Daerah Langkawi #Wendy Chin Yoon Mun
;