Polis kesan lelaki lempar basikal dan tendang kereta
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 13, 2024 17:20 MYT
Ogos 13, 2024 17:20 MYT
ALOR SETAR: Polis mengesan seorang lelaki yang melakukan khianat dengan sengaja melempar basikal dan menendang sebuah kereta sehingga mengundang kemalangan jalan raya menerusi rakaman yang ditular di media sosial yang berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya terkesan dengan dua video tular di Facebook (FB) itu pada jam 4 pagi hari ini (Selasa) berhubung tindakan yang dilakukan lelaki itu.
“Siasatan ke atas dua video berdurasi 9 dan 14 saat itu mendapati kejadian dipercayai berlaku di sekitar Taman Rakyat, dekat sini pada 9 Ogos, jam 3 petang.
"Polis sudah pun mengenal pasti pelaku seperti mana di dalam video tular terbabit.
"Pelaku dikenal pasti sebagai seorang individu warga tempatan berusia 24 tahun dan semakan mendapati pelaku adalah seorang pesakit autisme.
"Waris individu itu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Siti Nor Salawati berkata, namun sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berkaitan video tular terbabit.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pelaku tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Sehubungan itu, Polis Kota Setar menyeru mana mana saksi kejadian untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar atau menghubungi talian 04747222 bagi membantu siasatan," katanya.