Polis kesan lelaki disyaki sengaja sebabkan kemalangan untuk dapatkan ganti rugi

Bernama
Mac 10, 2024 16:07 MYT
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki sengaja menyebabkan kemalangan kerana ingin mendapatkan ganti rugi dan video mengenai insiden itu tular sejak semalam. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki sengaja menyebabkan kemalangan kerana ingin mendapatkan ganti rugi dan video mengenai insiden itu tular sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata berdasarkan siasatan, lelaki itu didakwa sengaja mencetuskan kemalangan di beberapa lokasi sekitar George Town, Jalan Masjid Negeri, Taman Tun Sardon dan Bukit Gambir.
"Polis menerima laporan berhubung kejadian membabitkan lelaki itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada kami," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal sengaja mencetuskan kemalangan dengan melanggar kenderaan lain sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kenderaan terbabit.
Suspek kemudian meminta ganti rugi antara RM30 hingga RM100.
-- BERNAMA
#polis kesan #kemalangan #Polis Daerah Timur Laut #ganti rugi