Polis kesan individu terlibat kes pukul dalam video tular
Sinar Harian
Ogos 12, 2022 08:00 MYT
Ogos 12, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan individu terlibat dalam satu klip video tular memaparkan serangan terhadap dua lelaki dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellham Yahaya berkata, pihaknya terkesan video berdurasi satu minit 27 saat itu memaparkan kejadian tersebut yang dimuatnaik di Facebook.
"Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 10 Ogos sekitar jam 9.17 malam.
"Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 4.45 petang susulan satu kemalangan melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Noor Dellhan berkata, bagaimanapun punca kemalangan masih dalam siasatan dan kesemua individu terlibat sedang dikesan polis.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu atau saksi mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03 26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03 21159999. - Sinar Harian