Polis kesan ‘Datuk’ kes penipuan lebih RM1 juta

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 31, 2023 10:00 MYT
Polis sedang mengesan Mohamd Jaylani Sheikh Mohamad yang berusia 44 tahun dan alamat terakhirnya di Taman Citra, Alor Setar, Kedah.
ALOR SETAR: Polis Kedah sedang mengesan seorang lelaki yang bergelar ‘Datuk’ dipercayai terbabit dalam penipuan memperdaya mangsa dengan tawaran perniagaan rakan kongsi tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, individu terbabit dikenali sebagai Mohamd Jaylani Sheikh Mohamad berusia 44 tahun dan alamat terakhirnya di Taman Citra, di sini.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa laporan polis yang diterima berkenaan kes penipuan terbabit.
"Jumlah kerugian berkaitan kes ini membabitkan RM1 juta dan hasil siasatan mendapati individu terbabit menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu.
"Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Syed Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.
Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta untuk memberikan maklumat kepada pihak polis melalui hotline IPD Kota Setar 04-7326999 atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspector Risikan / Operasi BSJK IPD Kota Setar, Inspektor Mohamad Zakuan di talian 012-9428575 atau Inspektor Risikan /Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Inspektor Saltul Supla di talian 017-9743153.
#datuk palsu #kes penipuan #tawaran perniagaan #Alor Setar
;