Polis kesan butang baju Melayu logo PDRM dijual atas talian
Afiezy Azaman
Mei 23, 2019 23:42 MYT
Mei 23, 2019 23:42 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penjualan butang baju Melayu berlogo PDRM yang dibuat secara terbuka dan atas talian sekali gus mampu mengundang perlakuan jenayah.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad kelengkapan dan peralatan pakaian seragam PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) dan Kadet Polis dengan menunjukkan Kad Sijil Pelantikan.
"Kesahihan status pembeli dan kad kuasa yang ditunjukkan secara atas talian tidak mungkin dapat dipastikan kerana setiap peniaga yang berlesen dikehendaki mencatatkan butiran pembeli ke dalam Buku Daftar Penjualan.
"Pembeli juga dikehendaki menandatangani di atas pembelian yang dibuat namun proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan di buat atas talian," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut Asmawati berkata, peralatan polis adalah dikhususkan ke atas pakaian seragam polis dan jika perkara ini tidak dicegah dan dikawal ia mampu mengundang perlakuan jenayah seperti penyamaran dan sebagainya.
Justeru itu, tindakan segera akan diambil dengan memberi nasihat, membatalkan permit perniagaan atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu jika ia dijual tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
#Asmawati Ahmad
#butang Baju Melayu
#kad kuasa
#logo PDRM
#pakaian seragam
#pembeli
#perlakuan jenayah
#polis
#Polis Diraja Malaysia