Polis kesan 200 warga asing langgar SOP solat sunat Aidiladha atas jalan
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 20, 2021 17:18 MYT
Julai 20, 2021 17:18 MYT
JURU: Polis mengesan lebih 200 warga asing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di atas jalan berhampiran Surau Taman Pelangi, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kumpulan itu didapati berbuat demikian selepas pengurusan surau tidak membenarkan mereka solat di dalam surau berikutan melebihi had ditetapkan.
Mohd Shuhaily berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada pelanggaran SOP oleh pengurusan surau berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku secara spontan, namun itu tidak bermakna polis tidak akan menyiasat apa yang berlaku pagi tadi.
"Pihak saya akan terus siasat sekiranya berlaku perancangan (awal) membawa kumpulan jemaah yang ramai itu ke surau tersebut pagi tadi.
"Berdasarkan video yang tular, kita akan cuba mengenal pasti warga asing yang terbabit," katanya di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Shuhaily turut memohon maaf kepada seluruh penduduk di negeri itu atas kegagalan pihaknya mengesan perkara berkenaan lebih awal.
"Dalam konteks yang berlaku hari ini, daripada sudut kepolisan saya selaku Ketua Polis Pulau Pinang mohon maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang akan kegagalan kami untuk mengesan lebih awal," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus membuat laporan kepada polis melalui talian 04-2221722 sekiranya mengesyaki sebarang pelanggaran SOP sebelum menularkannya di laman sosial.
Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan kumpulan lebih 200 warga asing melakukan solat sunat Aidiladha di atas jalan raya di Taman Pelangi.
Menurut Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebelum ini, solat sunat Aidiladha hanya dibenar dilakukan di masjid negeri dan daerah dengan kapasiti 150 orang, masjid kariah (100) serta surau (50).