Polis kenal pasti seorang suspek tembak anggota Maritim Malaysia di perairan Kunak

Bernama
April 8, 2024 12:46 MYT
Pasukan Polis Marin sudah diarahkan untuk membuat rondaan dengan lebih kerap ekoran kejadian itu bagi memastikan ia tidak berulang. - Foto Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika operasi rondaan Op Khas Pagar Laut dijalankan di perairan Kunak pada 8.30 pagi semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata buat masa ini, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek lain yang turut terlibat, namun warganegara suspek masih belum boleh didedahkan.
Beliau berkata seorang daripada dua anggota yang cedera itu sudah menjalani pembedahan mata susulan kejadian itu bagi mengeluarkan peluru dan kini berada dalam keadaan stabil.
"Di sini saya ingatkan kita nampak ini sebagai satu kes rompakan laut pada musim perayaan, ada yang nak balik dari Kunak ke Semporna menaiki bot, perompak ini ambil kesempatan rompak bot yang ada di laut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Razarudin berkata Pasukan Polis Marin sudah diarahkan untuk membuat rondaan dengan lebih kerap ekoran kejadian itu bagi memastikan ia tidak berulang.
"Setakat ini, siasatan kita (polis) memang nampak dia (perompak) ambil peluang untuk merompak.
"Ini bukan trend perayaan, memang kebetulan dia rompak (pada) hari itu," katanya.
Terdahulu, Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama (M) Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata ketika kejadian, anggota Maritim Malaysia melihat sebuah bot yang mencurigakan berada di perairan itu sebelum cuba untuk menghampiri bot berkenaan.
Bagaimanapun, menurut beliau semasa anggota menghampiri bot berwarna biru itu, tiga suspek yang dipercayai berada di dalam bot berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah anggota Maritim Malaysia.
Beliau berkata bot terbabit kemudian memecut ke arah perairan negara dan anggota yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA
#tembak #Maritim Malaysia #perairan Kunak #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #suspek
;