Polis kenal pasti rumah anak perempuan 'Abuya' dikurung di perkampungan GISB - KPN
Umavathi Ramayah
Oktober 20, 2024 18:00 MYT
Oktober 20, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Polis hari ini telah mengenal pasti sebuah rumah di Perkampungan Maahad Sayuti, Batu Hampar, Perak, yang dikatakan menjadi lokasi anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah dikurung selama sebulan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, wanita berusia 41 tahun itu dibawa ke lokasi berkenaan oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak.
"Pengadu ketika dibawa, menunjukkan rumah yang telah digunakan pengikut Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd untuk mengurungnya sebelum pengadu dihantar kepada neneknya ke Kedah.
"Pengecaman di lokasi kejadian hari ini (Ahad) berjalan lancar," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Kata Razarudin, sebelum di bawa ke lokasi, Ummu Atiyah hadir ke Balai Polis Padang Gajah, Perak kira-kira pukul 11 pagi untuk direkod keterangan.
"Hasil rakaman percakapan, wanita itu memaklumkan dia dikurung di dalam sebuah rumah dua bilik kira-kira satu bulan," katanya.
Sebelum ini, Ummu Atiyah, dalam satu sidang media di ibu negara, mendakwa dia menjadi mangsa keganasan dan rogol seorang pemimpin GISB yang ingin menikahinya secara paksa.
Dia turut mendakwa dikurung di sebuah perkampungan GISB di Batu Hampar.
Razarudin berkata polis sudah membuka kertas siasatan susulan pendedahan dibuat Ummu Atiyah berhubung dakwaan dikurung itu.
Beliau turut mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar.
Katanya, pengadu memberitahu perkampungan terbabit dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.
Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan.