Polis kenal pasti pemandu kenderaan terjunam ke dalam laut

Astro Awani
Januari 20, 2019 21:33 MYT
Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM 4 Jambatan Pulau Pinang pada pukul 2.54 pagi Ahad. - Foto BERNAMA
Polis telah mengenal pasti identiti pemandu kereta yang terjatuh ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang pada Ahad.
Menurut polis, mangsa telah dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20 tahun, seorang pelajar kolej swasta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pengesahan dibuat oleh pemillik kereta yang juga bapa kepada pemandu kenderaan jenis SUV Mazda CX-5 itu selepas tampil membuat laporan polis pada jam 5 petang Ahad.
Lelaki berusia 63 tahun itu membuat laporan polis selepas anak lelakinya yang memandu kereta jenis sama tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth.
Berdasarkan maklumat dari rakan anaknya, kemungkinan anaknya terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sebelum terjunam ke dalam laut.
Nik Ros Azhan berkata sehingga kini pihak polis sudah merakam percakapan seramai tiga saksi bebas dan dua rakan mangsa bagi membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan.
Menurut rakan mangsa, mereka dalam perjalanan pulang dari menyambut hari lahir rakan mereka di George Town.
Sementara itu, seorang saksi bebas yang melihat kejadian tersebut telah memberikan kerjasama dan berkongsi video 'dash cam' kereta miliknya kepada polis.
BACA: Bomba cari kenderaan dipercayai terjatuh ke dalam laut
BACA: Polis Marin bantu cari kenderaan terjunam ke dalam laut
Nik Ros Azhan berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi Ahad sebuah kereta berwarna putih terjatuh ke dalam laut selepas terlibat dengan kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 4.0 di Jambatan Pulau Pinang.
Pemandu kereta Toyota Vios berusia 21 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
#Akta Pengangkutan Jalan #identiti pemandu #Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #Mazda CX-5 #Moey Yun Peng #pulau pinang #SUV #terjatuh #Toyota Vios
;