Polis kenal pasti nombor pendaftaran motosikal perakam

Sinar Harian
Februari 28, 2022 11:30 MYT
Polis telah mengenalpasti nombor pendaftaran motosikal perakam selepas satu laporan diterima. - Foto tular
BALIK PULAU: Polis mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang merakam aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS).
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal melalui kenyataan pada Isnin berkata, susulan itu membolehkan pihaknya mengesan kesemua pemilik motosikal yang terlibat untuk membantu melengkapkan siasatan.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Barat Daya, Inspektor Hamzah Ahmad Rosli di talian 013-2064682.
"Polis turut menerima satu laporan selepas satu klip video yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi tular di media sosial pada Ahad.
"Siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi menunggang motosikal secara berbahaya dengan kelajuan 285 kilometer sejam.
Selain itu, ia juga memaparkan penunggang dua buah motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi ‘wheelie’ pada kelajuan tinggi di Jambatan Kedua Pulau Pinang itu.
Sementara itu, sebahagian sedutan video itu juga memaparkan panel meter motosikal individu yang membuat rakaman itu dan menunjukkan ia dipecut sehingga kelajuan lebih 285 kilometer sejam (km/j).
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #motosikal #aksi berbahaya #JSAHMS
;