Polis kenal pasti militan sembunyi di negara ini- Ketua Polis Negara
Astro Awani
Mei 23, 2014 15:51 MYT
Mei 23, 2014 15:51 MYT
Polis telah mengenalpasti beberapa anggota militan yang dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol) yang dipercayai bersembunyi di negara ini bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana pembabitan mereka dengan aktiviti militan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, biarpun bergerak secara senyap namun aktiviti golongan ini yang merekrut golongan muda sebagai ahli militan berjaya dikesan.
Khalid berkata pihaknya juga memandang serius terhadap aktiviti keganasan tersebut dan pemantauan dilakukan secara berterusan.
Semalam, Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar dilaporkan berkata beberapa anggota militan dan pengganas luar negara yang ditahan di Malaysia baru-baru ini didapati cuba menyebarkan idealogi dan dakyah jihad untuk Islam dalam usaha merekrut lebih banyak anggota.
Beliau berkata hasil siasatan pihak berkuasa mendapati mereka pada mulanya datang ke Malaysia untuk bersembunyi kerana terlibat dengan badan-badan pengganas di negara masing-masing sebelum bertindak menyebarkan dakyah dan ideologi mereka.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian selepas menghadiri taklimat sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, di Kontijen Polis Pulau Pinang hari ini.
Hadir sama, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
#Ketua Polis Negara
#Polis Antarabangsa (Interpol)
#Tan Sri Khalid Abu Bakar
#Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar