Polis kenal pasti identiti tiga anggota tentera maut kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
Februari 2, 2024 14:57 MYT
Februari 2, 2024 14:57 MYT
SUNGAI PETANI: Polis telah mengenal pasti identiti tiga anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 75 Lebuhraya Utara Selatan, di sini pada Jumaat.
Ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Sarjan Rozali Abdull Rani, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, tiga trak tentera itu dipercayai dari 3 Rejimen Sempadan ke Markas 30 Briged untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais CPX.
Beliau berkata, kesemua trak tentera itu bergerak secara konvoi dan pergerakan kenderaan itu mengikut kadar kelajuan 70 kilometer sejam dan jarak antara kenderaan lebih kurang 50 meter.
"Pada jam kira-kira 10.30 pagi, sebuah trak tentera dipercayai mengalami kerosakan dan kemudian berhenti di sebelah haluan kiri lebuh raya.
"Namun secara tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah sama merempuh kenderaan tentera yang berada di sebelah kiri laluan lebuh raya itu menyebabkan tiga anggota tentera terbabit maut di tempat kejadian," katanya.
Zaidy berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, kesemua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak tentera dan sebuah lori di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Gurun.