Polis kenal pasti identiti mayat wanita terdampar di pantai Teluk Bahang
Astro Awani
Mac 2, 2017 18:48 MYT
Mac 2, 2017 18:48 MYT
Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui lemas bersama anak lelakinya di persisiran Pantai Batu Feringgi, Teluk Bahang pada Rabu adalah warga tempatan yang dikenali sebagai Tan Li Gin, berusia 21 tahun dan Eonithin A/L Amarish, berusia dua tahun.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintendan Anuar Omar berkata, identiti kedua-dua mangsa dikenalpasti hasil pengecaman yang dibuat oleh waris dan suami mangsa yang kenali sebagai Amarish a/l Kumuarasen.
Menurut Anuar, kedua-dua mangsa beralamat di Taman Pantai Intan Bagan Ajam Butterworth.
Hasil bedah siasat yang dijalankan unit forensik Hospital Pulau Pinang mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah.
Sehubungan itu katanya, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye sebelum itu turut mengesahkan wanita tersebut hamil 11 minggu.
Pada Rabu, mayat seorang wanita dalam keadaan terikat bersama seorang kanak-kanak ditemui terdampar di persisiran Pantai Batu Feringgi, berhadapan dengan Tropical Spice Garden, Teluk Bahang.
Mangsa berbangsa Cina itu dan anaknya berusia dua tahun ditemui oleh orang awam dalam keadaan kedua-kedua mangsa terikat satu sama lain dengan tali rafia.
Mangsa ditemui lengkap berpakaian dengan wanita dewasa memakai kemeja-T warna kelabu dan seluar pendek berwarna merah jambu, manakala kanak-kanak berkenaan memakai kemeja- T beserta seluar berwarna kelabu.
#hamil 11 minggu
#mayat ditemui
#mayat kanak-kanak
#mayat wanita
#Teluk Bahang
#Tropical Spice Garden