Polis kenal pasti identiti lima sekeluarga dihanyut arus deras ketika menjala

Bernama
Mac 31, 2024 04:45 MYT
Mayat Mohd Diham ditemukan satu kilometer dari lokasi mereka terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - Foto Sinar Harian
SERDANG: Lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun berhampiran sebatang anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan petang semalam dikenal pasti sebagai warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata mangsa yang ditemukan lemas ialah anak sulung pasangan itu, Mohd Diham Ahmad Suriadi, 10, manakala yang masih hilang ialah ibunya yang dikenali sebagai Juliana, 38, dan adik perempuan bongsunya, Riska Amelia, empat tahun.
Beliau berkata mangsa yang selamat dikenali sebagai Ahmad Suriadi (bapa), 40, dan anaknya, Mohd Alif, sembilan.
“Menurut Ahmad Suriadi, ketika kejadian mereka sekeluarga pergi ke kawasan berkenaan untuk menjala ikan bagi mendapatkan pendapatan tambahan namun pada kira-kira 5 petang, datang air deras dari saliran monsun berhampiran menyebabkan mereka dihanyutkan hingga ke anak sungai yang berkedalaman 1.2 meter.
“Bagaimanapun, Ahmad Suriadi dapat menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan manakala anak keduanya, Mohd Alif, sempat menyelamatkan diri dengan naik ke sebelah kanan longkang berhampiran sebelum ditemukan oleh orang awam pada 5.30 petang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Anbalagan berkata mayat Mohd Diham pula ditemukan satu kilometer dari lokasi mereka terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang sedang dilakukan.
Siasatan awal polis mendapati Ahmad Suriadi sudah bermastautin di Malaysia hampir 10 tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk tukang paip untuk menyara hidup.
"Mangsa memaklumkan sudah beberapa kali ke lokasi kejadian untuk memancing dan hasil tangkapan akan dijual bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan," katanya.
Anbalagan juga berkata lokasi kejadian bukan tempat memancing namun ada inividu yang datang ke situ bagi menangkap ikan untuk dijual.
"Lelaki terbabit cedera sedikit akibat terkena pokok namun tidak serius manakala anaknya yang terselamat tidak mengalami kecederaan," katanya.
-- BERNAMA
#lemas #hilang #Seri Kembangan #menjala ikan
;