Polis kenal pasti dalang video lucah babitkan Haziq
Hakim Rahman, Afiezy Azaman
Julai 13, 2019 00:01 MYT
Julai 13, 2019 00:01 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti sekumpulan individu dalam penyebaran video intim membabitkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang ahli politik.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan terkini mendapati wujud pakatan atau konspirasi di belakang kumpulan terbabit untuk menjatuhkan seseorang.
"Dalangnya saya sudah ada bayangan siapa yang bertanggungjawab, ia satu bentuk pakatan dan konspirasi untuk menjatuhkan seseorang.
“Pada masa ini kita sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mengambil tindakan terhadap dalang utama pembikinan video lucah berkenaan.
"Tidak kira sama ada dia ahli politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau individu berkepentingan kita (polis) akan tetap ambil tindakan," katanya sempena Majlis Rumah Terbuka, Perumahan Blok Melati PDRM, di Setiawangsa, malam Sabtu.
Beliau berkata tindakan polis adalah buta terhadap individu berkepentingan atau mempunyai jawatan tertentu kerana undang-undang tidak mengenal sesiapa sahaja.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata pihaknya telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
"Ada yang beberapa orang yang telah ditangkap dan ada juga yang dilepaskan (selepas soal siasat).
"Kita fokus kepada dua sudut, kita sedang mencari siapa yang bertanggungjawab yang sebarkan menggunakan media sosial,” katanya lagi.
#Abdul Hamid Bador
#ahli politik
#Datuk Seri Abdul Hamid Bador
#Haziq Abdullah Abdul Aziz
#Ketua Pemuda PKR Santubong
#Ketua Polis Negara
#Pakatan Harapan
#video intim