Polis kenal pasti dalang muat naik video wanita menari separuh bogel atas tong di Pulau Perhentian

Sharom Abu Bakar
Ogos 8, 2019 12:09 MYT
Mohd zamri berkata video berkenaan juga adalah video lama dan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di pulau berkenaan. - Gambar fail/Astro AWANI

Polis Terengganu telah mengenalpasti individu yang memuat naik video pesta separuh bogel di sebuah pulau peranginan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata pemilik laman sosial itu merupakan seorang wanita berusia sekitar 30-an.
Katanya wanita berkenaan akan dipanggil bagi memberi keterangan dan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Pemilik akaun ni memang wujud tapi masih dalam siasatan kita. Kita akan memanggil dia untuk bagi keterangan. pada pihak skmm untuk bekerjasama dengan kita memastikanmana dia dapat sumber berita berkenaan.
“Saya tegaskan juga sebenarnya tidak ada tarian separuh bogel atau disko secara berleluasa di Pulau Perhentian dan yang ada sekadar bermain muzik di tepi pantai,” katanya.
BACA: Wanita menari atas tong dalam pesta bogel di Pulau Perhentian? Ini reaksi polis Besut

Beliau berkata hasil siasatan juga pihaknya mendapati wanita berkenaan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa tempatan kerana tidak membenarkannya membuka perkhidmatan urut di pulau tersebut.
Mohd zamri berkata video berkenaan juga adalah video lama dan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di pulau berkenaan.
Bagaimanapun Mohd Zamri berkata kes itu diserahkan kepada skmm untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Terdahulu tular di media sosial mengenai video dan gambar wanita menari dalam keadaan separuh bogel bersama lelaki di sebuah chalet di pulau peranginan berkenaan.
Berdasarkan dua video masing-masing berdurasi 30 saat dan sembilan saat itu turut memperlihatkan sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian separuh bogel melakukan aktiviti serupa.

#Besut #laman sosial #lelaki #media sosial #pesta bogel #polis #Pulau Perhentian #siasatan #SKMM #tarian separuh bogel #video #wanita
;