Polis kenal pasti dalang jual darjah kebesaran Pahang di platform e-dagang

Bernama
Ogos 10, 2023 15:10 MYT
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata individu itu dipercayai berada di luar Pahang dan telah menghentikan jualan selepas menyedari kegiatannya dihidu pihak berkuasa. - Gambar hiasan
KUANTAN: Polis telah mengenal pasti dalang dalam kegiatan menjual bintang dan lencana darjah kebesaran Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata individu itu dipercayai berada di luar Pahang dan telah menghentikan jualan selepas menyedari kegiatannya dihidu pihak berkuasa.
Beliau memaklumkan perkara itu kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Petugas Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar di sini hari ini.
Pada 13 Julai lepas, Yahaya mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai penjualan bintang dan darjah kebesaran Pahang yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.
Siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.
Mengulas mengenai BSM, Yahaya berkata sebanyak 881 pegawai dan anggota dari kontinjen Pahang digerakkan untuk membantu polis Terengganu pada PRN, Sabtu ini.
Mereka akan ditempatkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman selama lima hari bermula hari ini.
-- BERNAMA
#darjah kebesaran Pahang #jual darjah kebesaran #E-dagang #polis
;