Polis kenal pasti beberapa individu seludup dadah ke Australia - JSJN
Bernama
Oktober 27, 2023 20:23 MYT
Oktober 27, 2023 20:23 MYT
KAJANG: Polis mengesahkan telah mengenal pasti beberapa individu di dalam negara ini disyaki menyeludup dadah jenis syabu ke Melbourne, Australia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata identiti kesemua individu itu tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana siasatan berhubung kes itu masih dijalankan.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati dadah itu diseludup dari kawasan Segi Tiga Emas kemudian dibungkus semula di negara ini sebelum sindiket dadah itu menyeludup dadah berkenaan ke Australia.
"Kami telah menerima maklumat dari pihak berkuasa Australia dan sedang menjalankan siasatan," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini, hari ini.
Pada 10 April lepas, media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram heroin bernilai AU$268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, pada 13 Mac lepas.
Susulan itu, Polis Persekutuan Australia (AFP) dilaporkan berkata Pasukan Sempadan Australia mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen masing-masing seberat 500 kg.
-- BERNAMA