Polis keluarkan 360 permit ceramah PRU15 di Kelantan
Bernama
November 11, 2022 07:00 MYT
November 11, 2022 07:00 MYT
PASIR MAS: Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan 360 permit ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat 2 petang tadi di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata bagi kempen melibatkan tinjauan mesra dan program ziarah rumah ke rumah, calon hanya perlu membuat permohonan secara bertulis sekali sahaja dan memaklumkan lokasi serta masa dalam tempoh berkempen ini.
"Perkara ini dijalankan bagi mengelakkan calon bertembung semasa berkempen," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh, Rantau Panjang semalam.
Muhamad Zaki berkata beliau bagaimanapun tidak bimbang dengan budaya politik di Kelantan yang berbeza kerana calon berpolitik secara matang, malah masih boleh bertegur sapa antara satu sama lain jika bertembung.
Beliau turut menasihatkan calon-calon yang berkempen tidak menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman sepanjang PRU15 ini.
"Kebanyakan calon yang bertanding adalah calon tempatan, saya yakin mereka tahu budaya negeri ini dan tidak akan timbulkan provokasi," katanya.
Sementara itu bagi perkembangan banjir, Muhamad Zaki berkata dua PPS sudah dibuka iaitu di SK Gual To' Deh dan di SK Kelewek, Tanah Merah.
Katanya, penduduk perlu berhati-hati dengan situasi banjir di Rantau Panjang kerana paras air di Sungai Golok semakin meningkat.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan setakat 6 petang Sungai Golok menunjukkan paras air melepasi tahap bahaya apabila mencatatkan bacaan 9.12 meter.
--BERNAMA