Polis Kelantan tahan tiga warga Thai, rampas yaba, heroin RM1.51 juta
Bernama
Oktober 3, 2023 19:23 MYT
Oktober 3, 2023 19:23 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan tiga warga Thailand termasuk seorang wanita dan merampas dadah jenis pil yaba serta heroin bernilai RM1.51 juta dalam dua serbuan di Rantau Panjang pada Ahad dan semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan melibatkan 96,000 pil yaba dan 230 botol heroin dianggarkan seberat 1.4 kilogram.
"Serbuan pertama melibatkan tangkapan seorang lelaki Thailand berusia 31 tahun pada 1 Okt lalu berdekatan kawasan parkir sebuah masjid di pekan Rantau Panjang pada 7.45 malam.
"Ketika ditahan, suspek yang menunggang sebuah motosikal dan membawa sebuah beg plastik lut sinar dengan dibalut selimut 'toto' mengandungi 96,000 biji pil yaba," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Okt untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata serbuan kedua berhampiran pangkalan haram Che Kassim, Rantau Panjang pada 2.45 petang melibatkan tangkapan dua warga Thailand termasuk seorang wanita berusia 28 dan 41 tahun.
"Ketika pemeriksaan ke atas suspek wanita, polis merampas dua beg plastik lut sinar, yang setiapnya mengandungi balutan toto dengan kandungan 230 botol plastik berisi dadah jenis heroin.
"Polis percaya suspek bukan kali pertama melakukan perbuatan ini termasuk menggunakan modus operandi yang sama untuk ke negara ini," katanya.
Katanya kedua-dua suspek telah direman seminggu sehingga 9 Okt untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B akta yang sama.
-- BERNAMA