Polis Kelantan tahan suami isteri, rampas dua pistol

Bernama
Januari 11, 2024 17:18 MYT
Senjata yang dirampas polis dalam serbuan Ops Tapis Khas di Pasir Mas dan Tumpat, semalam. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Polis merampas dua pistol dan menahan empat individu termasuk satu pasangan suami isteri dalam serbuan Ops Tapis Khas di Pasir Mas dan Tumpat, semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dalam serbuan pertama di Kampung Gual Arang di Pasir Mas pada 5.30 pagi polis menahan seorang warga emas berusia 70 tahun, dan menemukan 80 biji pil yaba serta sepucuk pistol jenis Kuzey GN19 besama 10 butir peluru.
"Polis kemudiannya membuat serbuan susulan di Kampung Gual Machang, Pasir Mas dan berjaya menahan anak lelaki suspek berusia 27 tahun. Semua rampasan termasuk pil yaba dan pistol dianggarkan bernilai RM6,680.
"Suspek berusia 70 tahun itu yang bekerja sendiri, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala anaknya yang juga penganggur mempunyai satu rekod jenayah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Dalam serbuan kedua di Kampung Geting, Tumpat pada 12 tengah hari semalam Muhamad Zaki berkata polis menahan satu pasangan suami isteri berusia 26 dan 31 tahun, dan merampas sepucuk pistol jenis Glock bersama 31 butir peluru.
Katanya lelaki yang ditahan itu mempunyai 28 rekod jenayah manakala isterinya pula turut memiliki tiga rekod berkaitan dadah dan jenayah.
"Kesemua empat suspek dalam dua serbuan ini direman hingga 16 Jan ini. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.
Menurut Muhamad Zaki Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menerusi Ops Tapis Khas bermula 1 Jan lalu sehingga semalam telah berjaya menahan 913 individu berusia antara 14 hingga 70 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM262,891.54.
Katanya 880 daripadanya adalah penduduk tempatan termasuk tiga penjawat awam manakala 33 adalah warga asing.
-- BERNAMA
#op tapis khas #rampasan pistol #penagih dadah #Kelantan
;