Polis Kelantan tahan dua lelaki rampas 60,000 pil yaba bernilai RM660,000

Bernama
Ogos 6, 2023 20:13 MYT
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Dua lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan bersama 60,000 biji pil yaba bernilai RM660,000 dalam Ops Tapis Khas di Kampung Tok Pelandok, Bukit Tuku, Pasir Mas pada 3 Ogos lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah SUV Proton X70 di lokasi tersebut.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan telah menemukan sebuah beg galas hitam berisi 240 paket plastik biru berjalur merah dan 60 paket plastik merah jambu berisi pil-pil kemerahan disyaki dadah jenis pil yaba.
"Kesemua pil bernilai RM660,000 tersebut jika diedarkan boleh digunakan oleh 60,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat hingga 10 Ogos depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Muhammad Zaki berkata polis Kelantan merampas pelbagai dadah bernilai RM939,330 serta menyita harta bernilai RM33,000 dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan mulai 26 Julai hingga semalam.
"Seramai 369 orang berusia 14 hingga 57 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952," katanya.
-- BERNAMA
#Polis Kelantan #Ops Tapis Khas #pil yaba #Kampung Tok Pelandok
;