Polis Kelantan siap siaga aset, anggota hadapi musim banjir
Bernama
November 7, 2023 18:47 MYT
November 7, 2023 18:47 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan siap siaga termasuk dari aspek aset dan keanggotaan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada hujung November ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata persediaan itu dibuat berdasarkan pengalaman tahun lepas termasuk mesyuarat melibatkan pelbagai agensi di peringkat negeri dan daerah sudah dijalankan.
"Perubahan cuaca pada masa ini menandakan musim tengkujuh bakal tiba, justeru anggota berkenaan diarahkan untuk sentiasa bersedia termasuk memastikan semua aset serta logistik dalam keadaan baik.
"Kami sentiasa bersiap sedia menunggu arahan daripada pucuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya persediaan itu juga melibatkan pembekuan cuti anggota dan pegawai berdasarkan arahan pucuk kepimpinan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini media melaporkan, MTL atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada 11 Nov ini dan berterusan sehingga Mac 2024.
-- BERNAMA