Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM4.7 juta dari sindiket di Sungai Golok

Astro Awani
April 1, 2017 13:32 MYT
SAC Din Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan pil kuda dari operasi pada 30 Mac lalu. - Foto Astro AWANI
Polis Kelantan telah menggagalkan sebuah sindiket dadah yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand apabila sejumlah 474,000 pil kuda bernilai RM4.7 juta dirampas pada 30 Mac lepas, daripada seorang suspek berusia 50-an .
Operasi berkenaan, yang juga direkod sebagai rampasan terbesar tahun ini, dilakukan ketika lelaki berkenaan memunggah bekalan dadah tersebut menyeberang Sungai Golok pada jam 7 petang.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad, lelaki yang berperanan sebagai pembawa dadah itu membawa bahan terlarang berkenaan menyeberang sempadan melalui Sungai Golok dengan upah antara RM200 hingga RM300.
“Kita menahan seorang lelaki Melayu tempatan syaki sebagai carrier (pembawa) kepada barangan ini yang mana dia adalah sebagai pengambil upah dari seberang ke sebelah sini,” ujar beliau.
Dalam serbuan polis di sebuah rumah di Jalan Pekan Lama kelmarin, pihaknya mendapati suspek sedang memunggah bekalan berkenaan dari perahu ke rumah tidak bernombor di tepi pangkalan haram berkenaan.
Menurut Din, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui tiga guni seberat 55.3 kilogram yang mengandungi pil kuda.
Ujian air kencing ke atas suspek mendapati beliau negatif dan bekalan terrbabit diperoleh dari Thailand untuk dijual di sekitar Kelantan dan Terengganu.
Pihaknya juga sedang membuat siasatan terperinci bagi mengenal pasti dalang sebenar seterusnya mengesan mereka yang terbabit.
Suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Dadah #operasi #pil kuda #polis #siasatan #sindiket #suspek #Thailand
;