Polis Kelantan rampas dua pistol dalam dua serbuan di Pasir Mas

Wanna Abd Rahim
Februari 2, 2023 16:47 MYT
Muhamad Zaki Harun menunjukkan pistol yang dirampas di Pasir Mas kepada wartawan dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan, di Kota Bharu, hari ini. - Gambar Astro AWANI
KOTA BHARU: Dua pucuk pistol dirampas daripada dua individu dalam dua tangkapan berasingan masing-masing di sebuah hotel bajet dan sebuah rumah di jajahan Pasir Mas, di sini, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki Melayu berusia 30 tahun, manakala, tangkapan kedua membabitkan seorang warga Thailand berusia 46 tahun yang ditahan di sebuah hotel bajet di Rantau Panjang.
"Dalam tangkapan pertama, telah berlaku pergelutan antara suspek dengan pegawai Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK) dan suspek cuba mencapai senjata api jenis pistol berwarna hitam di atas tangga rumah tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kata Muhamad Zaki, suspek berjaya ditahan dan pistolnya juga dirampas.
"Pemeriksaan pada tubuh suspek tidak menjumpai sebarang barang salah. Namun, suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan di bawa ke IPD (Ibu Pejabat Daerah) Pasir Mas untuk tindakan lanjut," sambung beliau.
Muhamad Zaki berkata, suspek mengaku pistol yang dirampas adalah miliknya yang dibeli dari Thailand pada tahun 2017 dengan harga RM2,000.
Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di mahkamah hari ini dan siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) 1971/ Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Manakala, bagi kes kedua, seorang lelaki warga Thailand berusia 46 tahun yang turut positif Methamphetamine telah ditahan selepas polis menerima maklumat awam berhubung kes pergaduhan antara suami dan isteri di sebuah hotel di Chabang 4 Salam semalam.
"Selepas ditahan pihak polis menemui sepucuk pistol jenis Norico yang disorokkan di dalam beg galas yang dipakai oleh suspek.
"Terdapat juga pasport milik suspek yang tamat tempoh pada tahun 2032. Namun, tiada sebarang cop masuk ke Malaysia dalam pasport tersebut," ujar Muhamad Zaki.
Tembah Muhamad Zaki, suspek mengaku pistol yang dirampas adalah miliknya yang dibawa masuk dari Pattani, Thailand.
"Suspek membeli pistol tersebut dengan harga RM4,000 dan juga mengaku masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram pengkalan Gergaji, Rantau Panjang.
"Tangkapan dan rampasan dibawa pulang ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut, dan suspek di reman selama 14 hari," katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) 1971/ Sek 8(a) Akta Senjata 1960 / Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63.
#dua pistol dirampas #Polis Kelantan #dua serbuan #Pasir Mas
;