Polis Kelantan rampas 30 ketulan mampat ganja, 18,000 pil yaba

Bernama
Jun 23, 2024 23:30 MYT
Muhamad Zaki berkata sebanyak 18,000 biji pil yaba dianggarkan bernilai RM270,000 dirampas. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Polis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 30 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 31.73 kilogram (kg) dan 18,000 biji pil yaba dalam dua serbuan berasingan pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata dalam serbuan pertama polis menahan sepasang kekasih masing-masing warga tempatan dan warga Thailand berusia 22 serta 23 tahun di Kampung Gaung Lati, Pasir Mas.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta jenis Perodua Viva dinaiki suspek, polis menemukan satu plastik berisi ketulan mampat ganja di bahagian kerusi penumpang dengan anggaran nilai rampasan termasuk kenderaan ialah RM97,500.
"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek tersebut, polis menahan seorang lagi suspek lelaki warga Thailand di sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang pada hari yang sama," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata sebanyak 18,000 biji pil yaba dianggarkan bernilai RM270,000 dirampas.
Muhamad Zaki berkata ketiga-tiga suspek direman tujuh hari hingga 27 Jun ini untuk siasatan di bawah Akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, menurutnya polis turut mengesan kegiatan judi ekor, judi dalam talian dan judi sabung ayam melibatkan semua peringkat usia di negeri ini.
Beliau berkata tangkapan kegiatan judi dalam talian lebih tinggi berbanding judi lain iaitu 83 kes direkodkan dari Januari hingga hari ini dengan 48 kes telah dituduh di mahkamah.
"Kegiatan judi dalam talian disiasat di bawah Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/4B(a)," katanya.
--BERNAMA
#ganja #pil yaba #judi ekor #warga Thailand
;