Polis Kelantan rampas 10,000 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta
Vivi Sumanti
Januari 30, 2021 16:42 MYT
Januari 30, 2021 16:42 MYT
TUMPAT: Risikan yang dilakukan selama beberapa jam oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga membuahkan hasil apabila berjaya merampas 10,000 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta di Kampung Chempaka, Kota Bharu, hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, kira-kira jam 6.30 pagi tadi, pihaknya menahan sebuah lori yang mencurigakan memasuki lorong tali air dari Kampung Chempaka menghala ke Kampung Cherang.
"Anggota kami cuba menahan lori berkenaan, namun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu serta kelindan melarikan diri dan meninggalkan lori tersebut.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kenderaan itu kami menemui sejumlah 200 kotak berisi dua juta batang rokok putih jenama John dipercayai diseludup dari Thailand," katanya ketika sidang media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya merampas lori dan kesemua rokok untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa muatan rokok tidak diluluskan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Bekalan rokok seludup ini untuk pasaran Kelantan dan Terengganu susulan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.