Polis Kelantan lupus dadah lebih RM90 juta
Sinar Harian
Oktober 18, 2023 15:25 MYT
Oktober 18, 2023 15:25 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM90.287 juta yang dirampas sepanjang 17 tahun bermula 2006 lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua barangan kes itu akan dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sekitar Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan pada Khamis.
"Ia melibatkan pelbagai jenis dadah seberat 454,291.596 gram dan 2,952.145 liter," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, langkah tersebut mengikut proses yang telah ditetapkan selepas selesai perbicaraan.
Ujarnya, sepanjang Januari hingga September lalu, Polis Kelantan telah menahan 12,710 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.
"Kita juga berjaya merampas dadah bernilai RM65,655,228.20," ujar beliau. - Sinar Harian