Polis Kelantan kutip saman RM1.48 juta dalam tempoh tiga hari
Muhafandi Muhamad
Disember 11, 2021 18:01 MYT
Disember 11, 2021 18:01 MYT
KOTA BHARU: Sejumlah RM1.48 juta bayaran saman berjaya dikutip polis Kelantan dalam tempoh tiga hari tawaran diskaun sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dilancarkan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata jumlah berkenaan membabitkan bayaran 57,781 saman yang dikeluarkan.
“Saman berjumlah 26,618 bagi saman Pol 170A manakala Pol 257 sejumlah 31,163 keping sehingga semalam melibatkan kutipan RM1.4 juta. Hari ini hari cuti di Kelantan, ramai yang keluar bayar saman,” katanya.
Shafien ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Kaunter Bayaran Saman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.
Katanya sambutan menggalakkan dari rakyat Kelantan untuk menjelaskan saman tertunggak sehingga menyaksikan hampir 500 orang setiap hari berurusan di kaunter saman itu.
Dia turut memaklumkan saman atas kesalahan memandu melebihi had laju paling tinggi diikuti saman bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh.
Shafien menjelaskan polis Kelantan mengeluarkan sejumlah 121,000 saman pada tahun lepas.
Dari jumlah berkenaan, 37,500 saman sudah dijelaskan manakala lebih 84,000 saman masih belum dijelaskan.