Polis Kelantan keluarkan lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah, negeri
Bernama
Januari 24, 2021 11:33 MYT
Januari 24, 2021 11:33 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan mengeluarkan lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah dan negeri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu bermula 16 Jan sehingga kini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata majoriti yang memohon surat berkenaan adalah mereka yang bekerja sendiri atau pekerja harian tanpa majikan.
"Namun, memasuki minggu kedua PKP ini jumlah permohonan agak berkurangan berbanding tiga hari pertama PKP dikuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas hadir program 'Back to School' serta memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa (1) dekat sini hari ini.
Bagi memastikan tahap pematuhan SOP murid dan pelajar di luar sekolah, Shafien berkata pihaknya memantau perkara itu melalui khidmat Unit Peronda Kereta (MPV) atau Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terutamanya selepas tamat waktu persekolahan.
"Ketika murid berada dalam sekolah, insya-Allah tahap pematuhan mereka tinggi kerana dipantau pihak sekolah tetapi apa dikhuatiri selepas waktu balik sekolah kerana murid mungkin terlupa untuk ikut SOP seperti tidak memakai pelitup muka, jumpa kawan dan sebagainya.
"Maka, dengan adanya kehadiran polis di sekitar sekolah dapat memberi peringatan kepada mereka untuk patuh SOP. Polis akan memantau 10 minit sebelum dan 10 minit selepas waktu sekolah," katanya.
Selain itu, Shafien berkata pihaknya juga akan menggunakan khidmat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh negeri untuk bekerjasama dengan pihak sekolah mengenai perkara berkenaan.
-- BERNAMA
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Polis Kelantan
#Ketua Polis Kelantan
#Shafien Mamat
#kebenaran rentas negeri
#SOP